The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Sokong Usaha MBI (Selangor) Jayakan Inisiatif Selangor Kerjaya 2021

Jan 22, 2021 - FAS

Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) pada tahun lalu merekodkan lebih 100,000 pekerja diberhentikan akibat kesan penularan COVID-19 di Malaysia. Malahan, angka tersebut dilihat terus meningkat selepas berlakunya pelaksanaan PKP 2.0 pada pertengahan bulan ini.
 
Justeru, usaha kerajaan negeri Selangor, melalui MBI Selangor, telah mengambil langkah proaktif untuk membantu warga Selangor yang terkesan dengan pandemik ini turut disokong oleh Selangor FC. Inisiatif Selangor Kerjaya akan dilancarkan secara langsung melalui Facebook Live MBI Selangor dan Media Selangor pada 26 Januari 2021 jam 2.30 petang oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.
 
Inisiatif yang bakal menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan ini bertujuan untuk memberikan tawaran kerjaya yang baharu untuk warga Selangor melalui kaedah kemahiran baharu (new skill), peningkatan kemahiran (upskill) dan pembaharuan kemahiran (reskill), selain menjadi sebahagian usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

Melalui inisiatif Selangor Kerjaya ini, kesemua calon yang berdaftar bakal menjalani penilaian profil serta pemadanan kerjaya sebelum pengambilan kerja berlaku. Program ini juga bakal memberi pendedahan dan pengalaman industri secara langsung menerusi latihan di tempat kerja, secara percuma.
 
Sebagai salah satu rakan strategik utama Gergasi Merah, Selangor FC akan turut mewar-warkan mengenai platform kerjaya MBI ini melalui aset digital dan hebahan elektronik kepada penyokong pasukan Selangor.
 
Menurut sumber MBI, kerjasama antara badan korporat tersebut dengan Selangor FC dilihat sebagai satu langkah strategik penting kerana kelab ini mempunyai pengikut yang ramai, terutamanya dalam kalangan belia.
 
Malah, pemain-pemain Selangor FC juga rata-rata mempunyai suara tersendiri yang dilihat mampu memanjangkan mesej dan usaha ini kepada para penyokong Gergasi Merah.

Melalui kolaborasi ini, inisiatif Selangor Kerjaya akan lebih inklusif dan mesej yang cuba di sampaikan akan lebih meluas, lebih-lebih lagi dalam kalangan belia di Selangor yang mencari sumber pendapatan baharu.
 
“Selangor FC komited untuk memberikan nilai tambah yang baik kepada rakan strategik kami, pihak MBI melalui kolaborasi untuk inisiatif Selangor Kerjaya ini, selain mahu menjadi pemangkin untuk para penyokong Gergasi Merah mendapat kehidupan yang lebih baik,” jelas Dr.Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC.
 
“Kami faham yang ramai rakyat di negara ini yang terjejas sumber pendapatan ekoran pandemik COVID-19. Jadi, apabila pihak kerajaan negeri Selangor, melalui MBI menganjurkan inisiatif ini, kami berasa terpanggil untuk mewar-warkankan usaha baik ini kepada pihak penyokong Selangor sendiri.”
 
“Mungkin, terdapat sebahagian dari penyokong kami yang memerlukan pekerjaan baharu di masa yang mendesak ini, jadi dengan penyertaan kami, sedikit sebanyak inisiatif ini bakal memberikan peluang yang baharu untuk mereka,” tambah Dr. Johan.
 
Pihak penganjur, MBI Selangor dan Selangor FC berharap agar penyokong Selangor yang sedang mencari pekerjaan untuk menyertai inisiatif Selangor Kerjaya dengan mendaftar dan memuat naik resume anda ke portal www.selangorkerjaya.com.my dengan segera kerana banyak peluang kerjaya untuk anda ceburi.
 
From Selangor, for Selangorian. Demi kebanggaan.